Komuniti

Khidmat

Ilmu

Ehsan

SINOPSIS

KOMBAT’ = KOMPLEKS MASJID BANDAR TASIK KESUMA.

CADANGAN PEMBINAAN KOMPLEKS MASJID, UTILITI SERTA DEWAN SERBAGUNA, BANDAR TASIK KESUMA BAGI KEGUNAAN PENDUDUK DAN KOMUNITI BANDAR TASIK KESUMA, BERANANG, SELANGOR DARUL EHSAN.

TUJUAN

 Cadangan pembinaan sebuah Kompleks Masjid, Utiliti serta Dewan Serbaguna bagi kegunaan Penduduk dan Komuniti Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor Darul Ehsan.

LATAR BELAKANG

  1. Bandar Tasik Kesuma adalah sebuah Bandar baru yang dibina atas sebahagian Lot 775, Mukim Beranang, Selangor Darul Ehsan dan dibangunkan oleh Agenda Istimewa Sdn Bhd sebagai Pemaju Perumahan yang merupakan anak syarikat kepada Nam Fatt Berhad, Syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur.
  2. Pembangunan Bandar Tasik Kesuma melibatkan pembangunan rumah bercampur yang terdiri dari pangsapuri kos rendah hinggalah kepada lot-lot banglo. Disamping dilengkapi dengan kawasan industri, perniagaan dan prasarana pendidikan iaitu sekolah rendah dan menengah.
  3. Ia mempunyai 9 Fasa kediaman yang terdiri daripada pelbagai jenis kediaman. Dianggarkan pada masa ini terdapat 15 ribu unit kediaman dengan kepadatan penduduk melebihi 30 ribu orang dengan merangkumi 90 peratus penduduk Islam.
  4. Pihak Pemaju telah menyediakan satu kawasan seluas 3 ekar bagi tujuan tapak Kompleks Masjid / Tempat Ibadah, dan telah diwartakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
  5. Bagi merealisasikan sebuah Kompleks Masjid, Utiliti serta Dewan Serbaguna bagi kegunaan penduduk dan komuniti Bandar Tasik Kesuma, satu kumpulan Jawatankuasa Pembinaan dan Wakaf terdiri daripada Penduduk Bandar Tasik Kesuma telah diwujudkan sebagai suara hasrat pembinaan tersebut.
  6. Menyuarat Khas Pemilihan JawatanKuasa Pembinaan Masjid Bandar Tasik Kesuma Beranang, Selangor disempurnakan pada 27 Februari 2020, di Pengerusikan oleh YBhg Tuan Nazir Masjid Qaryah Kampung Rinching, Semenyih dan di pantau oleh wakil Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

OBJEKTIF

  1. Untuk menyediakan keperluan berjemaah dan beribadah terutama Solat Juma’at yang selesa kepada orangramai penduduk Bandar Tasik Kesuma.
  2. Menyediakan ruang majlis keraian dan seminar yang lebih luas dan selesa anjuran penduduk dan komuniti setempat, samada Kelab, Persatuan atau orang perseorangan.
  3. Menyediakan prasarana yang lebih sempurna khususnya aktiviti berjemaah, ibadah, riadah, majlis ilmu, dialog dan lain-lain aktiviti melibatkan penduduk serta komuniti setempat.
  4. Menyediakan ruang dan mengadakan kelas-kelas pengajian atau seminar yang lebih sempurna serta penganjuran program-program dikalangan jemaah termasuk remaja dan kanak-kanak sekolah di Bandar tersebut.
  5. Menjadikan sebuah institusi kemasyarakatan dalam pembangunan insan dan simbol perpaduan yang mendokong kearah ketaqwaan, kemajuan dan keamanan Negara.

LOKASI

Cadangan pembangunan Kompleks Masjid, Utiliti serta Dewan Serbaguna tersebut ialah di sebuah tapak seluas 3 ekar di Lot 775, Mukim Beranang.

Klik disini untuk lihat peta lokasi dan teknikal.

SPESIFIKASI & KONSEP

Cadangan Kompleks Masjid, Utiliti serta Dewan Serbaguna Bandar Tasik Kesuma akan menjadi pusat aktiviti utama bagi seluruh jemaah penduduk dan komuniti Bandar ini.

Memandangkan ia adalah hub utama, maka konsep pembinaan perlu dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan berikut mengikut keperluan:

  1. Kapasiti ruang dewan solat utama dan ruang keseluruhan jemaah; 3000 jemaah atau lebih.
  2. Dewan Serbaguna dan Seminar.
  3. Ruang Pengurusan Jenazah.
  4. Bilik-bilik kuliah.
  5. Bilik Siaraya.
  6. Pusat Sumber.
  7. Bilik Pejabat dan Mesyuarat.
  8. Ruang Permainan Dalaman.
  9. Tandas Muslimin dan Muslimah.
  10. Kemudahan infrastruktur iaitu tempat letak kereta, pagar dan lampu kawasan.
  11. Rumah Kediaman Pegawai Masjid.
  12. Ruang Perniagaan.

Persekitaran yang masih terdapat perkampungan tradisional, maka pihak Jawatankuasa menitikberatkan ciri-ciri rekabentuk “Melayu Kotemporari” yang bersifat kekampungan sebagai asas ‘Konsep’ Pembinaan Kompleks Masjid Bandar Tasik Kesuma ini.

ASAS PERTIMBANGAN PEMBINAAN

  1. Bandar Tasik Kesuma mempunyai 9 Fasa kediaman yang terdiri daripada pelbagai jenis kediaman. Dianggarkan pada masa ini terdapat 15 ribu unit kediaman dengan kepadatan penduduk melebihi 30 ribu orang dan majority penduduk Islam.
  2. Pada masa ini, hampir keseluruhan penduduk menunaikan Solat Juma’at di Masjid Kampung Rinching Hulu atau Masjid Kampung Sesapan Batu Rembau, iaitu di luar kawasan, agak jauh dan menyukarkan.
  3. Bagi menampung keperluan jemaah Solat Juma’at, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah membenarkan beberapa surau di Bandar Tasik Kesuma ini sebagai Surau Juma’at. Walaubagaimanapun kepadatan penduduk yang sentiasa bertambah, surau-surau tersebut tidak dapat menampung jemaah Juma’at.  
  4. Dewan Serbaguna; buat masa ini segala kegiatan penduduk dilaksanakan dengan kemudahan yang amat terhad serta tidak dapat disertai oleh keseluruhan penduduk. Walaupun terdapat dewan-dewan di lokasi berhampiran Bandar Tasik Kesuma dengan kadar sewa ‘komersial’, ini agak membebankan kepada keseluruhan penduduk.

CADANGAN

Bahawasanya kami dengan ini berusaha mengumpul dana serta memohon sumbangan dana secara ‘Wakaf’ supaya cadangan bagi membina sebuah Kompleks Masjid, Utiliti serta Dewan Serbaguna yang boleh menampung keseluruhan aktiviti komuniti dan kemasyarakatan bagi kegunaan penduduk Bandar Tasik Kesuma dapat direalisasikan dan tersiapbina.

PENUTUP

Dengan adanya sebuah Kompleks Masjid, Utiliti serta Dewan Serbaguna dan Seminar yang lengkap, aktiviti-aktiviti komuniti dan kemasyarakatan, berjemaah, ibadah serta riadah dapat dilaksanakan penduduk Bandar Tasik Kesuma ini dengan lebih terancang, teratur dan selasa.

Begitu juga aktiviti-aktiviti pembentukan insan. Program kanak-kanak dan remaja dapat dirancang agar dapat melahirkan generasi yang bertaqwa, berwawasan, berpengetahuan, cergas dan berdaya saing.
Mewujudkan suasana harmoni, saling mengenali dan menghormati jiran tetangga adalah satu tugas sukar yang memerlukan pelantar, satu tempat khusus iaitu Kompleks Masjid serta Dewan Serbaguna sebagai tempat pertemuan, berbincang dan menyelesaikan masalah melalui permuafakatan dan program yang dianjurkan.

Dengan aktiviti-aktiviti berjemaah dan kemasyarakatan yang akan dijalankan akan membantu meningkatkan ketaqwaan, kesedaran dan kejayaan perlaksanaan NKRA Negara.

Tabung Wakaf Pembinaan Kompleks Masjid Bandar Tasik Kesuma

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”

Surah Al-Baqarah [2] : Ayat [245]

Pautan Luar

Kompleks Masjid Bandar Tasik Kesuma

d/a No.7 Jalan Kesuma 7/1, Bandar Tasik Kesuma, 43700 Beranang, Selangor Darul Ehsan 

Hubungi Kami

info@masjidkesuma.com.my

Pautan Sosial

Share This